PUASA BERI KEKUATAN DALAMAN
Oleh: Dr. Mashitah Ibrahim
Doa disifatkan dalam salah sebuah hadis
sebagai senjata orang Islam dan pada ketika yang lain diibaratkan sebagai otak
dari ibadat. Orang yang berpuasa seharusnya membanyakkan berdoa kepada Allah. Doa
memberi pengharapan dan menambah keyakinan seorang hamba terhadap penciptanya.
Doa juga menyedarkan manusia betapa kerdil dan lemah manusia terhadap perancangan
Allah.
Walau apa pun yang dirancang manusia
ditangan Allah jua kuasa penentunya. Usaha manusia tidak akan dapat mengatasi
qadak dan qadar Allah.
Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak
berdoa hinggakan disebut dalam satu hadis bahawa mereka termasuk dalam 3
golongan manusia yang tidak akan
ditolak doanya. Sabda Rasulullah yang
bermaksud 3 orang yang tidak akan ditolak doanya ialah pemerintah yang adil,
orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan
orang yang teraniaya. Dapatlah kita fahami
di sini latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir
kepada Allah dan lantaran ia dekat
kepada Allah doanya mudah diperkenankan.
Manusia yang banyak berdoa kepada Allah
bukan saja akan akur pada ketentuan Allah tetapi berkeyakinan bahawa Allah
memakbulkan permintaannya bahkan apa yang telah ditentukan Allah adalah yang
terbaik untuk dirinya.
Dalam ayat 186 Surah Al-Baqarah yang
bermaksud: ''Apabila hambaKu bertanya tentang Aku katakan (wahai Muhammad)
bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang yang meminta kepada Ku.''
Allah menjanjikan bahawa setiap yang
meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan
janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang
yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi
menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang
perancangan Allah sama dengan
perancangan orang yang meminta
kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi
pilihan yang terbaik untuk manusia itu.
Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala
untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil
melalui sifat ikhlas. Amalan puasa
adalah antara manusia dengan Allah. Jika
kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma
Allah saja yang tahu.
Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam
diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas,
kita
bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk
kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t. sendiri yang akan
membatas pahala orang yang berpuasa.
Ketahanan badan yang diperoleh melalui
latihan berlapar dalam puasa juga menghasilkan ketahanan mental dan rohani.
Melalui puasa dapatlah kita fahami
bahawa seseorang menjadi kuat dan boleh
bekerja bukanlah kerana makan saja tetapi kerana keyakinan dan iman kepada
Allah akan menjadi nadi
penggerak kepadanya. Ini terbukti dalam
sejarah peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan ketika pertama kali
orang Islam diwajibkan berpuasa. Kekuatan seorang sahabat boleh bertambah
menjadi kepada tenaga kekuatan dua puluh orang hanya kerana keimanan yang jitu
pada Allah. Walaupun mereka sedang berpuasa musuh yang kenyang akhirnya tewas
ditangan orang Islam yang lapar dan sedikit jumlahnya.
Kesan kerohanian ini sebolehnya dikekalkan
dalam diri orang Islam. Dengan itu mereka dianjurkan meneruskan puasa sunat enam
hari dalam bulan Syawal supaya
kekuatan rohani ini berkesinambungan. Bahkan
untuk menjamin kesan kerohanian ini lebih dirasai dan berterusan, dari sebelum
Ramadan orang Islam sudah mula berjinak-jinak dan berlatih melalui puasa Rejab
dan Syaaban.
Puasa Ramadan berbeza dengan puasa dalam
bulan lain. Ia penuh keberkatan, kedatangannya dialu-alukan dan pemergiannya
ditangisi. Jika manusia tahu apa yang
terkandung daripada keberkatannya mereka
akan memohon supaya Ramadan itu sepanjang tahun. Sayang sedikit bagi kebanyakan
kita penekanan persediaan Ramadan ialah seolah-olah Ramadan terpaksa dilalui
untuk meraikan raya. Persiapan untuk raya melebihi daripada persiapan untuk
puasa., Seharusnya kita bersiap untuk puasa bersedia meningkatkan kekuatan
dalaman.
Bulan Ramadan sangat istimewa. Berkat dan
rahmatnya membuat kebanyakan orang terpanggil untuk membuat kebajikan dan
menambah ibadat. Orang yang jarang membuat amalan sunat pun akan sanggup sama-sama
berjemaah, tadarus dan bertarawih. Paling tidak pun mereka terpanggil ke masjid
untuk menikmati
juadah berbuka dan ''moreh'' selepas
tarawih yang disedekahkan oleh orang ramai.
Faktor pembangunan kekuatan manusia
sebenarnya adalah terletak pada tiga perkara utama iaitu akal, rohani dan
jasmani. Semua kekuatan ini dapat dibina melalui puasa. Akal menjadi kuat
dengan pembacaan al-Quran. Rohani dan jiwa pula kental dengan zikir dan
istighfar. Fizikal badan pula mendapat ketahanan melalui puasa.
Ibadat puasa sesungguhnya berbeza dengan
ibadat yang lain. Kesannya tidak terlibat secara zahir. Ia lebih merupakan
amalan dalaman yang tersirat dalam diri
seseorang. Ia berupaya memberi kekuatan
dalaman untuk pembangunan insan.
DR. MASHITAH IBRAHIM
Penolong Profesor di Jabatan Quran dan Sunah, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Penolong Profesor di Jabatan Quran dan Sunah, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Berkomentarlah dengan santun